25 Ogos 2010

Ganjaran Pasti di Bulan Ramadan ^_^


Keberkatan Ramadan tidak dapat dinafikan kerana banyak hadis yang menerangkan keistimewaan bulan diwajibkan berpuasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Daripada Ubadah Bin Somit meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadan hampir menjelang yang bermaksud: Sudah datang kepadamu bulan Ramadan, di mana Allah melimpahkan dalamnya dengan keberkatan, rahmat, me-ngampuni dosa kamu, memakbulkan doa, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperoleh kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.

Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila sudah tibanya Ramadan, dibuka pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Kita juga dianugerahkan keampunan dan ganjaran pahala yang banyak hasil daripada ibadat yang dilakukan pada Ramadan.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban)

Abu Hurairah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda mengenai Ramadan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikan (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya dosanya yang lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’, Ahmad dan Baihaqi)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sembahyang difardukan kepada sembahyang sebelumnya adalah penebus dosa antara kedua-duanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya adalah penebus dosa antara kedua-duanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadan) adalah kafarah apa antara kedua-duanya melainkan tiga golongan; syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).

Berkata Abu Hurairah: Aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Adapun syirik dengan Allah sudah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda SAW bersabda: Adapun engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jemaah (Islam). (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, Baihaqi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan